Monday, March 22, 2010

2 tahun Mengingati Kewafatan Guruku ; Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman : Dalam Kenangan




Beliau dilahirkan pada pukul 3.00 petang ,hari jumaat, 11 Februari 1933 di pondok Lubuk Tapah


Tuan Guru Haji Abdullah telah mendapat pendidikan awal dengan ayahandanya sendiri iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman .Beliau juga telah belajar menulis dan membaca jawi semenjak kecil lagi dengan anak murid ayahnya yang berpengalaman iaitu Almarhum Haji Jusuh atau lebih dikenali sebagai Abang Aji Soh.

Pada tahun 1953 , ayahandanya telah menghantarnya melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci , Mekah bersama adiknya Almarhum Haji Ahmad dengan menaiki kapal laut .Masjidil Haram Di Tanah Suci Mekah menjadi pusat pengajian Tuan Guru Haji Abdullah .

Di antara tokoh guru-guru dan ulamak beliau Syaikh Abdul Kadir Abdul mutalib AlMandili , Syaikh Muhamad Daud AlFatani ,Syaikh Abdul Jalil Al Indonisi dan beberapa orang tokoh-tokoh ulamak yang terkenal lagi .

Selama hampir 15 tahun berada di Tanah Suci Mekah akhirnya beliau kembali ke tanah air . Sebelum beliau pulang ke tanah air , beliau bersama 14 orang sahabat perjuangan menghadapi ujian terakhir daripada guru-guru ,ulamak dengan disuruh membaca mentafsir dan menerangkan isi kandungan beberapa buah kitab agama yang telah dipelajari selama menuntut di tanah Suci Mekah selama satu minggu.

Debaran ujian telah pun berakhir .Kini tiba pula debaran menunggu keputusan , Apabila keputusan diumumkan beliau bersama dua orang sahabatnya menerima ijazah tauliah dan tamat pengajian daripada
guru-guru ulamak pada Muharam 1386 hijrah .Sebelum berangkat pulang ke tanah air beliau juga diberi pesanan dan nasihat oleh guru-guru ulama supaya memanfaatkan ilmu yang telah di pelajari dengan betul dan tepat .

Pada tahun 1966 Tuan Guru Haji Abdullah kembali ke tanah air . Beliaulah sebagai pengganti ayahandanya Tuan Guru Haji Abdul Rahman untuk mentadbir dan menerajui Pusat Pengajian pondok Lubuk Tapah .

NAMA TUAN GURU / PENGAJAR YANG PERNAH MENGAJAR BELIAU :

Al-Syaikh Pak Da Ismail bin Abdul Kadir Al –Fatani
Al-Syaikh Abdul Kadir Abdul Muttalib Al-Mandili.
Al-Syaikh Zakaria Bilal.
Al-Syaikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kalatani
Al-Syaikh Hasan Muhammad Al-Massat.
Al-Syaikh Sayyid Alwi Sayyid Abbas.
Al-Syaikh Muhammad Arabi.
Al-Syaikh Mokhtar Amfahani
Al-Syaikh Soleh Idris Al-Kalatani
Al-Syaikh Haji Abdul Rahman Daud Al –Fatani.
Al-Syaikh Muhmmad Noor Bahrani.
Al-Syaikh Sayyid Muhammad Amin.
Al-Syaikh Abdul Jalil Al-Indunisi

BIDANG ILMU ;
Qawa'id 'Arabiyyah, Falsafah, Tasawwuf, Fiqh, Tawhid, Hadith, usul-Fiqh, Balaghah, Qira'at 7, faraid dan beberapa lagi cabang ilmu Islam.

Wednesday, March 17, 2010

Kuasai ilmu akidah sebelum bertarekat


Ilmu tasawuf membicarakan secara amali bagaimana cara menghayati nilai keimanan dan cara membebaskan diri daripada nifak.

Dewasa ini, ramai umat yang tertarik untuk meningkatkan kefahaman agama lalu menyertai pelbagai kumpulan tarekat. Malangnya, muncul pula perkara-perkara karut dalam amalan tarekat ini.

Berikut adalah temu bersama bekas pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Musa Fathullah Harun bagi membincangkan isu ini.

Apakah maksud tasawuf Islam?

Ada beberapa pertikaian pendapat tentang maksud tasawuf. Ada pendapat mengatakan ia diambil daripada sufi berasal dari perkataan suf (bulu domba). Tasawuf bererti memakai bulu domba.

Golongan ini mendakwa penamaan tersebut disebabkan para sufi menjadikan bulu domba sebagai pakaian mereka bagi menunjukkan kesederhanaan dan jauhnya mereka daripada kemewahan.

Ada yang mengatakan perkataan tasawuf diambil dari perkataan assafah iaitu bangunan yang dibangunkan oleh Rasulullah di sudut Masjid Nabawi. Baginda menempatkan para sahabat yang fakir daripada Muhajirin yang berhijrah ke Madinah tanpa mempunyai sebarang harta. Mereka digelar Ahli Sufah yang hidupnya amat sederhana, sentiasa dalam keadaan berjihad ke medan perang atau beribadat.

Tasawuf Islam pula mempunyai beberapa takrifan. Ini disebabkan ia melalui pelbagai macam peringkat dan keadaan. Setiap definisi pula mungkin hanya menunjukkan kepada sebahagian jawapan tertentu dan tidak merangkumi yang lain.

Bagaimanapun, apa yang jelas, ia mempunyai asas yang dipersetujui iaitu akhlakiat iaitu berkaitan pendidikan jiwa, pengendalian nafsu atau keinginan dan pendisiplinan manusia dengan akhlak yang mulia yang diambil dari Islam. Syeikh Mohamad Zakaria Al-Kandahlawi menyatakan, tasawuf adalah jalan yang dengannya dapat diperoleh sifat ihsan.

Ini kerana Islam itu berdiri atas tiga landasan iaitu akidah, syariat dan ihsan. Ihsan itu adalah kita beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu, kita kena yakin yang Allah sentiasa melihat kita. Jangan pula kita lupa tugas kita sebagai manusia untuk beribadat kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam surah Az-Zariat: 56.

Apakah sumber tasawuf Islam?

Sumber tasawuf Islam atau Sunni itu adalah Islam sendiri. Secara kasarnya, tasawuf itu terbahagi kepada dua. Pertamanya, tasawuf dini yang menjadi fenomena bersama di antara seluruh agama, sama ada agama samawi atau agama budaya yang ada di Timur. Yang kedua, tasawuf falsafah yang juga kuno dan merupakan peninggalan falsafah Yunani.

Tasawuf adalah akhlak dini yang diambil sumber utamanya dari al-Quran dan sunah. Ia juga diambil berdasarkan ucapan para sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak terkeluar daripada lingkungan al-Quran dan sunah.

Berdasarkan penelitian, jelaslah kepada kita bahawa para sufi telah meletakkan gambaran bagi suluk menuju Allah bermula dengan mujahadah al-nafsi akhlaqiyaan (jihad melawan nafsu dari segi akhlak). Ia kemudian beransur-ansur memasuki tingkatan yang pelbagai yang dikenali sebagai maqamat (jamak makam) dan ahwal (jamak hal) yang berkesudahan kepada makrifat Allah yang menjadi matlamat akhir perjalanan.

Ramai yang bersemangat mendalami ilmu agama lalu menyertai tarekat tanpa menilai dari segi akidah dan syariat. Apa kesan daripada perbuatan sebegini?

Mereka yang memasuki tarekat sebelum mempunyai asas akidah dan syariat yang kukuh tidak akan mencapai ke tahap ihsan. Sebabnya mudah saja. Bagaimana orang yang tidak mengetahui dapat membezakan suruhan dan larangan Allah. Ini akan menyebabkan orang tersebut mudah terpengaruh kepada kesesatan yang dibawa oleh tarekat tersebut.

Kita mesti menyedari jika sejak zaman ribuan ulama termasuk Imam Ghazali dan Imam Sya’rani masih hidup penyelewengan tasawuf sudah demikian hebat, apa lagi zaman kita yang bilangan ulama sudah berkurangan. Sudah tentu penyelewengannya lebih hebat dan lebih banyak tarekat yang sesat.

Mengikut Imam Ghazali, ilmu tasawuf termasuk ilmu jalan ke akhirat yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim. Sayangnya, ia dicemari oleh berbagai-bagai pencemaran seperti penyusupan pandangan ilhadiyah (yang menyimpang daripada agama) yang bertentangan dengan yang dipersetujui oleh ahli sufi Ahli Sunah Wal Jamaah yang terkenal.

Kita perlu mencontohi sikap Imam Sya’rani dalam bab ini. Beliau tidak mahu melakukan sesuatu amalan meskipun dianggap baik oleh sesetengah ulama melainkan setelah nampak jelas kesesuaiannya dengan al-Quran dan sunah.

Ada pengikut tarekat yang mengatakan jika menyertai tarekat, mesti terima apa yang diajar oleh guru atau mursyid. Dengan kata lain, ketepikan akal tentang betul atau salahnya. Benarkah?

Ini adalah sebahagian perkara karut yang sering ditemui yang dinyatakan oleh pengikut tarekat. Begitu juga dakwaan syahadat kebanyakan ustaz atau orang yang tidak memasuki tarekat tidak sah kerana tidak ada guru atau tidak ada salasilahnya.

Dakwaan tersebut jika diterima amat merbahaya. Ia akan memberi jalan kepada setiap orang untuk menetapkan hukum melalui dakwaan yang seumpamanya. Selain itu, ia juga mengandungi tuduhan Rasulullah s.a.w belum menyampaikan kesemua wahyu Allah semasa hayat Baginda.

Ada juga tarekat yang mengajar pengikutnya beribadat hanya dengan niat sahaja tanpa perbuatan. Menurut mereka, ini kerana Rasulullah bersabda sesungguhnya perbuatan itu cukup hanya dengan niat.

Ada di antaranya yang mengatakan tidak perlu belajar ilmu fikah. Mana boleh begitu kerana fikah ialah ilmu yang mengajar syariat iaitu ilmu hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan amalan kita sebagai Muslim.

Saya juga selalu bertanya jika saya memasuki tarekat ini, kemudian saya dapati ada sebahagian atau salah satu amalannya bertentangan dengan syariat, bolehkah saya menyingkirkan perkara yang bertentangan itu?

Sebahagian mereka tidak mahu memberi jawapan yang pasti. Sebahagian yang lain mengatakan tidak boleh. Kata mereka, jika hendak mengamalkan tarekat, maka hendaklah mengamalkan kesemuanya, tidak boleh amal sebahagian tolak sebahagian.

Antara masalah utama memulihkan ahli tarekat yang sesat agar kembali ke pangkal jalan ialah taksub atau fanatik kepada mursyid mereka. Apa puncanya?

Memang benar. Penyakit paling merbahaya menimpa diri seseorang yang menganuti sesuatu jalan atau fahaman adalah taksub atau fanatik. Apabila dihinggapi penyakit tersebut amat sukar untuk membetul atau menyedarkan akan kesalahan serta kesesatannya. Dengan sebab fanatik itu, banyak ahli tarekat yang berkenaan menutup telinga atau langsung tidak mahu mendengar sebarang teguran.

Sememangnya, kita perhatikan bahawa kebanyakan ajaran sesat berusaha mengikat pengikutnya supaya jangan lari. Caranya, melalui perasaan taksub.

Allah mengurniakan kita akal fikiran di samping menurunkan syariat-Nya sebagai panduan. Maka, hendaklah kita menjadikan kedua-duanya sebagai perisai. Kita perlu sentiasa berwaspada dan sesuatu yang diamalkan sekian lama hatta 100 tahun pun kalau salah dari segi agama perlu dibetulkan.

Ini kerana asas tarekat itu tidak boleh lari daripada akidah dan syariat. Jika ada di antaranya yang bercanggah, maka ia sesat dan wajib kita tolak.

Apakah panduan sebelum menyertai tarekat?

Pelajarinya ilmu tasawuf melalui kitab-kitab yang penting seperti Ihya’ Ulumiddin, al-Munqiz Min al-Dalal dan Fadaih al-Batiniah tulisan ulama muktabar seperti Imam Ghazali.

Selain itu, kitab karangan Imam Sya’rani seperti Tanbih al-Mughtarin, Qawa’id al-Sufiyah dan Al-Mizan al-Kubra.

Cuma jangan memasuki tarekat sufiah sebelum memiliki ilmu untuk menilai kesesuaian tarekat tersebut dengan akidah dan syariat.

Kalau mengikut pandangan Imam Ghazali, mereka yang mahu memasuki tarekat ini perlu diuji terlebih dahulu tentang kefahaman mereka berkaitan akidah dan syariat. Bukan main tangkap muat sahaja. Sesiapa yang datang diterima masuk.

Namun, setakat ini saya belum berjumpa mana-mana tarekat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertainya. Pemimpin-pemimpinnya juga masih jauh daripada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai mursyid atau guru.

Seorang sheikh tarekat itu mesti menguasai ilmu agama yang mantap bukan sahaja berkaitan syariat seperti usul fiqh tetapi merangkumi bab akidah serta muamalat. Mereka juga perlu menguasai keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunah dan tidak cukup hanya mengetahui satu mazhab sahaja.

Demikian juga dinyatakan oleh Imam Sya’rani bahawa mana-mana mursyid tarekat yang tidak menguasai ilmu akidah dan syariat tidak boleh kita ikuti.

Wednesday, March 10, 2010

SURI TELADAN

Tercatat dalam Kitab Ilmu Tahqiq Manhal Al-Safi Fi Bayan Ahl-Sufi peringatan yang sangat penting bagi mereka yang ingin memasuki dunia Tasauf sebagaimana berikut;

Setengah daripada yang tidak dapat tidak(yakni WAJIB) bagi orang yang murid yang hendak berjalan kepada Allah Subhanahuwa Taala, jalan Ahl Allah, iaitu bahawa hendaklah melazimkan diri dengan "Adab Syariat" Nabi kita Muhammad SAW. Yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruh dan yang ditegah. Kemudian masuk ia pada "Tariqat Nabi kita SAW" yakni mengikut akan jalan yang dikerjakan oleh Nabi yang terdiri dari amal atas sekuasa-kuasanya. Tiadalah maqam yang terlebih(afdal) daripada mengikut Nabi SAW pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan dengan mengikut Nabi kita SAW kerana dialah Ariffin yang mengetahui dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhoNya. Sesungguhnya telah berjalan Ia(Rasulullah SAW) dengan Dia bagi dirinya dengan demikian jalan.

Barangsiapa yang mengikut akan dia(Rasulullah SAW) padanya, maka tiada maqam yang terlebih afdhal daripada maqamnya. Setengah daripadanya dapat kasih Allah Taala seperti firman Allah Taala;

"Katakanlah olehmu ya Muhammad! Jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikut oleh kamu sekalian akan daku nescaya dikasih akan kamu oleh Allah Taala"

Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a ada membuat peringatan ini dalam Kitab Hikamnya;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (yakni Sunnah Rasulullah SAW) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".

Demikianlah dasar yang menjadi intipati sandaran para pendokong Ilmu Sufiah, tidak sama sekali berenggang jauh dengan petua dan amalan-amalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sejarah telah membuktikan akan keluhuran dan ketinggian peribadi Rasulullah SAW, para sahabat-sahabat yang keistimewaan dan kekuatan jiwa dan ruh Islam yang hakiki mengalahkan tamadun-tamadun yang sebelum itu, semasa itu dan selepas itu dan "isme-isme" yang ada sekarang ini.

"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan". (Al-Hasyr: 09)

Tulisan ini adalah sebagai lanjutan dari bicara mengenai Tasuaf dan maksud bertasauf. Di samping itu juga ia adalah merupakan usaha untuk mengheningkan kebingungan golongan yang mendakwa diri mereka pengamal tasauf sedangkan mereka telah tertipu dan terpedaya oleh syaitan laknatullah kerana meremeh-remehkan syariat malah ada yang sampai ke tahap membuang terus kemuliaan syariat ini semata-mata beralasan bila sudah berada dipuncak, segala hukum dan tuntutan syariat tidak boleh dipakai. Mereka bukan sahaja tergelincir dari "jalan yang benar" malah boleh menyebabkan orang awam(kebanyakan orang ramai) akan menjadi keliru dan turut terjebak dalam golongan yang suka saya gelarkan "Tasauf Pinggiranr".

Marilah sama-sama kita perhatikan bagaimana Tasauf membayangi kehidupan Rasulullah.

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bersunyikan diri diri Gua Hira' sehingga menjadi Rasul. Rasulullah sangat kuat bertahajud, beristigfar, berzikir, sembahyang hingga bengkak kakinya kerana lama berdiri Qiyam. Rasulullah menangis kerana takutkan TuhanNya. Rasulullah menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang buruk buangan. Semua ini terang dalam hadis yang shohih.

Rasululah mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman; "Aku di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya"

Rasulullah tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Omar Al-Khattab dengan keadaan Nabi itu.

Asas pembinaan peribadi yang luhur dengan ketaatan yang tinggi terhadap Allah Taala ini telah diwarisi oleh sahabat-sahabat baginda. Tiap-tiap seorang muslim pada zaman Rasulullah jadi Abid dengan hidup cara tasauf dalam kecergasan tabie semulajadi.

Sahabat-sahabat Nabi itu memandang dunia sebagai Rasulullah memandang dunia dengan rendahnya dan bersedia menghadap akhirat semata-mata kerana Allah. Kerana ringan dan murahnya nilai dunia ini, maka mudah sahaja dijijak dan diperhambakan hingga mereka menguasai dunia ini dan dengan dunia yang diperhambakan itu mereka membeli dan berjaya memenangi akhirat. Maka menguasai dunia untuk dijadikan tunggangan ke akhirat. Sekali-kali tidak ada peluang diberikan kepada dunia itu menakluki mereka atau mengatasi mereka. Kerana itu mereka berjaya di dunia dan di akhirat iaitu terus menang dlam jihad mereka.

Abu Bakar, bila beribadat kerana takut kepada Allah hingga bernyawa seperti jantung terbakar. Beliau membaca Al-Qur'an sepanjang malam; termakan makanan syubhat termuntah-muntah. Dalam satu peperangan Abu Bakar menyerahkan semua harta kekayaannya kepada Rasulullah kerana memenuhi seruan jihad. Inilah jiwa tasauf yang terpancar pada Abu Bakar Al-Siddiq.

Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai timur dan barat yang bertamadun zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan; ia kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain(dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.

Sayyidina Ali bin Abi Talib lebih lagi daripada Sayyidina Oma waraknya. Suatu hari dengan penatnya dia keluar mencari upah tetapi tidak berhasil. Bila balik didapatinya tersedia tiga biji tamar. Oleh kerabna sudah sehari suntuk tidak makan, tetapi bila ia hendak menyuap tamar yang ada di rumah itu teringat ia tidak tahu tamar siapa? hingga isterinya Fatimah menerangkan itu memang disimpankan untuknya. Baru ia hendak menyuap, tiba-tiba terdengar oorang memberi salam dan berkata; "Saya orang miskin kelaparan. Kerana Allah ..Ya Ali!!! berilah saya makanan". Tidak jadi ia menyuap makanan itu lalu diberikan kepada si miskin itu.

Bila akan menyuap yang kedua terdengar lagi satu salam dan menyeru; "Ya Ali.... saya anak yatim. Kerana Allah berilah saya makan kerana sangat lapar". Tidak jadi dimakannya tamar yang kedua itu lalu diberikan tamar itu.

Baru hendak menyuap yang ketiga, datang pula seorang lelaki. "Ya Ali...saya seorang yang merana. Kerana Allah berilah saya makan". Tamar yang akhir itu terus diberianya, tinggallah ia dengan kelaparan demi kerana Allah.

Pada hari wafatnya berpuluh-puluh janda meraung menangis hingga gempar dan hairan orang melihatnya. Bila ditanya kepada janda-janda itu?, jawab mereka:

"Tumbanglah harapan kami, putuslah pergantungan kami, kerana selama ini Ali lah yang menanggung dan menyara kehidupan kami" Tegasnya dalam sulit, tiada dengan tahu sesiapa Ali menolong janda-janda itu, Ali miskin kerana kesenangan orang lain. Inilah kemurniaan Tasauf yang bergemilapan pada peribadi Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Abu Ubaidah bin Jarah, pahlawan Islam, pembuka dunia baru mengembangkan Islam, jadi Raja(Amir) di Syam negeri yang mewah makmur dengan kekayaan. Manakala Umar melawat Syam dan bila masuk ke istana tiada kelihatan apa-apa benda kecuali sebiji pinggang dan sehelai tikar. Umar pun menangis kerana kasihan dan sedihkan nasib Abu Ubaidah yang menderita dalam negeri yang mewah. Memandangkan hal itu, Abu Ubaidah berkata;

"Ya Amirul Mukminin, adakah tuan menangiskan nasib saya sedangkan saya telah menjaulkan dunia saya untuk membeli akhirat".

Generasi seterusnya terus mewarisi pesaka keluhuran budi dan ketinggian ubudiyah ini dengan
Melazimi dan mengekali wirid harian untuk mendapat Warid,

Imam Ali bin Hussin r.a sembahyang sunat sebanyak 1,000 rekaat sehari semalam.

Aulia Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapii direndamnya dalam ayer dan menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.

Sheikh Junaid Al-Bagdadi menegaskan: " Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara: Pertama - menjauhkan dunia; Kedua - puasa; Ketiga - berjaga sepanjang malam.

Beliau berkata lagi Kesufian itu ialah lari dari dunia menuju Allah dan berada sentiasa dalam ibadat, carilah kesufian itu dalam diri sendiri

Sejarah Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni mencatatkan selama 30 tahun dia tidak tidur malam.

Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: bercampur dengan Aulia Allah, mengaji al-Qur'an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.

Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."

Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali ini yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya. Dengan tdak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah Taala kerana Allah tidak menghalalkan segala yang haram.

Wallahu ta'ala a'lam.......

Sanad

Perkataan Para Ulama’ Tentang Kepentingan Sanad

Perkataan Imam Az-Zuhri r.a. (124 H)

روى الأمام احمد بسنده عن عتبة بن أبي حكيم قال : سمع الزهري إسحاق بن عبد الله يقول : قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم ) : فقال الزهري : ( قاتلك الله يا بن أبي فروة ، ما أجرأك على الله إلا تسند حديثك ؟ تحدثنا بأحاديث ليس لها خطم ولا أزمة ) (معرفة علوم الحديث للحاكم : ص6).

Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya, daripada ‘Utbah bin Abi Hakim yang berkata bahawasanya Az-Zuhri mendengar Ishaq bin Abdillah bin Abi Furah berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w..” Maka Az-Zuhri berkata: “Binasalah kamu wahai Ibn Abi Furah. Tergamakkah kamu melampaui ke atas Allah, melainkan hendaklah kamu menyandarkan hadith kamu tersebut (dengan sanadnya). Kamu meriwayatkan hadith tanpa sebarang rujukan dan sumbernya. (Makrifah Ulum Al-Hadith: 6)

Perkataan Imam Abdullah bin ‘Aun r.a.:

روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن عبد الله بن عون ، انه كان يقول ( لا يؤخذ هذا العلم إلا عمن شهد له بالطلب )( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ، ص28).

Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengansanadnya kepada Abdullah bin ‘Aun bahawasanya beliau berkata: “Tidak boleh diambil ilmu ini (ilmu hadith dan ilmu agama) melainkan daripada orang yang telah diakui pernah menuntut sebelum itu (pernah meriwayatkan ilmu dari gurunya secara bersanad juga). (Al-Jarh Wa At-Ta’dil 1/ 28)

Perkataan Imam Al-Auza’ie r.a. (m: 157 H)

روى ابن عبد البر عن إلاوزاعي انه قال ( ما ذهاب العلم إلا ذهاب
الإسناد )( التهميد: 1/ 314).

Ibn Abdil Bar meriwayatkan daripada Imam Al-Auza’ie bahawasanya beliau berkata: “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). (At-Tamhid 1/314)

Perkataan Imam Syu’bah bin Al-Hajjaj (m: 160 H):

روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن شعبة يقول : ( كنت انظر إلى فم قتادة، فإذا قال بالحديث : حدثنا ، عنيت به فوقفته عليه ، وإذا لم يقل حدثنا لم اعن به)( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ،ص32)

Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengan sanadnya kepada Syu’bah bahawasanya beliau berkata: “Aku melihat kepada mulut Qotadah. Jika dia membacakan hadith dengan menyebut: Haddathana (maksudnya, membaca hadith dengan menyebut sanadnya), maka aku akan menumpukan perhatian kepada apa yang sedang diriwayatkan. Namun, jika dia tidak menyebut haddathana (tidak menyebut sanad hadith), maka aku tidak akan menumpukan kepada apa yang sedang disebutnya. (Al-Jarh wa At-Ta’dil 1/32)

Perkataan Abu ‘Ali Al-Jiyyani

Beliau berkata:
Allah s.w.t. mengkhususkan kepada umat ini (umat Islam) akan tiga perkara yang dia tidak pernah berikan kepada umat terdahulu iaitu: isnad (sanad ilmu dan hadith), penjagaan nasab dan kaedah tatabahasa Arab yang agung.

Perkataan Ibn Mubarak r.a.:

Imam Abdullah bin Al-Mubarak berkata:

قال عبد الله بن المبارك : ” الإسناد عندي من الدين ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء ، فإذا قيل له من حدثك ؟ بقي “

“Isnad (sanad) menurutku adalah agama. Kalaulah tanpa sanad, sesiapa sahaja akan bercakap apa sahaja (dalam urusan agama). Jika ditanya kepadanya “siapa yang menyampaikan kepadamu (meriwayatkan kepadamu hadith-hadith dan ilmu agama), nescaya dia akan kebingungan (tidak mengerti kerana tidak pernah mempuyai sanad).

Beliau berkata lagi:

وقال أيضاً : ” بيننا وبين القوم القوائم ” يعني الإسناد

Antara kami dengan kaum (para ulama’ yang meriwayatkan ilmu dan hadith) adalah ikatan, iaitulah sanad.

Perkataan Ibn Sirin

Dalam Muqoddimah Sahih Muslim (1/15), Imam Muslim meriwayatkan dari Muhammad bin Sirin rahimahullah, “Isnad itu sebahagian dari agama, jika tidak kerana isnad, maka sesiapa akan berkata apa saja yang dikehendaki (dalam urusan agama tanpa ilmu mendalam tentangnya)”

Beliau berkata lagi:


إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم “.

Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).

Perkataan Imam Sufiyan At-Thauri r.a.:

وقال الثوري : ” الإسناد سلاح المؤمن ، إذا لم يكن معه سلاح فبأي شيء يقاتل “.

Ibnu Hibban menukilkan dari Sufyan at-Thauri dalam Muqoddimah Al-Majruhin 1/27: “Isnad adalah senjata bagi orang beriman, jika tanpa senjata, bagaimana dia mempertahankan diri?”

Keagungan Tradisi Ilmu Islam

Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan menjadikan sistem talqqqi sebagai nadi bagi penyebaran ilmu Islam. Ilmu-ilmu Islam disebarkan secara talaqqi di mana seorang murid mengambil ilmu tersebut dengan kaedah “pertemuan” dengan gurunya dalam rangka untuk mewarisi ilmu-ilmu Islam secara riwayah dan dirayah.

Sistem talaqqi ini bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi di mana Baginda s.a.w. mengambil Al-Qur’an secara bertalaqqi kepada malaikat Jibril a.s.. Lalu, para sahabat meriwayatkan ajaran dan panduan dalam memahami Al-Qu’ran daripada hadith-hadith Nabi s.a.w. yang diriwayatkan secara talaqqi daripada Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Al-Qur’an diriwayatkan secara mutawatir iaitu diriwayatkan secara beramai-ramai sehingga tidak ada keraguan lagi dalam keaslian teks Al-Qur’an yang diriwayatkan melalui ramai para huffaz (penghafaz Al-Qur’an tersebut).

Namun, hadith-hadith Rasulullah s.a.w. kebanyakkannya diriwayatkan secara perorangan (individu-individu tertentu) sehingga terkadang boleh membawa kepada keraguan dalam isi hadith yang diriwayatkan oleh perawi hadith tersebut. Maka, timbullah kaedah penelitian terhadap sanad-sanad periwayatan hadith dalam meneliti keadaan perawi hadith itu sendiri bagi memastikan ketulenan hadith-hadith Nabi s.a.w..

Setelah itu, munculnya zaman pembukuan hadith-hadith dan ilmu Islam, maka para musnid (ulama’ yang membukukan hadith-hadith dalam buku-bukunya) menghimpunkan hadith-hadith yang diriwayatkan secara bersanad lalu ditulis di dalam musnad mereka (kitab himpunan hadith mereka) lelu menyebarkan musnad mereka kepada murid mereka dengan kaedah periwayatan hadith yang muktabar dalam ilmu mustolah hadith.

Murid-murid kepada ulama’ yang menghimpunkan hadith-hadith dalam buku mereka meriwayatkan kepada murid-murid mereka pada generasi seterusnya dengan penuh teliti terhadap keaslian isi kandungan musnad-musnad guru mereka tersebut, samada meriwayatkannya secara “guru membaca kepada murid” ataupun murid membaca dan guru menyemak bacaan tersebut”.

Setelah itu, pembukuan ilmu-ilmu Islam yang lain turut berkembang dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu aqidah, tafsir, fiqh dan sebagainya. Namun, tradisi meriwayatkan buku-buku tersebut tetap tidak terlepas daripada manhaj talaqqi secara bersanad, bagi memastikan murid-murid mendapat isi kandungan asli buku-buku tersebut dan memastikan murid-murid tersebut memahami isi kandungan buku-buku tersebut, dengan melalui syarahan ulama’-ulama’ penulis buku-buku tersebut.

Sistem talaqqi terus dipelihara dan dijadikan manhaj tradisi ilmu Islam dalam memelihara keaslian warisan ilmiah Islam (turath). Para ulama’ salafus-soleh amat mengambil berat tradisi mewariskan turath Islami secara bersanad melalui manhaj talaqqi dalam tradisi pembelajaran dalam umat Islam.

Wednesday, March 3, 2010

AL-HIKAM AL-GHAWTHIYYAH : al- Qutb Sheikh Abi Madyan r.a. : diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Fatani

Minta petua olehmu akan hati engkau dan jika dipetuakan akan oleh yang mempertuakan".

Ilmu Laduni atau disebut juga sebagai Warid Ilahiyyah akan dilimpahkan ke atas hati Aulia Allah pada waktu jernih hati mereka itu dari sebarang kekeruhan penyakit-penyakit hati seperti lalai, cintakan dunia, syak, waham dan syirik Jali serta Syirik Khofi. Jiwa atau hati yang menerima Ilmu Laduni akan difahamkan makna-makna Asma-Asma dan Sifat-Sifat Allah di Alam Malakut dan Alam Jabarut. Penyingkapan dan pembukaan ilmu-ilmu hakikat dan makrifat diperolehi mereka apabila bersunyi dengan kekasih mereka itu. Imam Ghazali menegaskan hal "jernih hati" ini dengan istilah "penyempurnaan" sebagaimana berikut;

"Ketahuilah bahawa "ILMU LADUNI" itu adalah penyerapan Nur Ilham yang terjadi selepas penyempurnaan (JIWA) sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Demi satu jiwa serta Yang Menyempurnakannya" (Surah Al-Syams:7).(Lihat Al-Risalatulil Duniyyah untuk keterangan lanjut)"

Dan kata setengah Ariffin(orang-orang sufi yang Arif);

"Telah mempetuakan akan daku oleh hatiku daripada TuhanKu".

Dan kata Abu Yazid Bustomin r.a;

"Kami ambil Ilmu kami dariapada Tuhan Yang Al-Hayul Qayyum La Yamut".

Maka dikata(ditanya) orang baginya;

"Adakah bagimu daripada syahidnya(nas atau dalil) atas katamu itu daripada Kitab dan daripada Sunnah(Rasulullah saw.???"

Maka kata Abu Yazid r.a.;

Bahkan!!! iaitu firman Allah Taala (Wattaqullaha Wayu'allumukumullah) yang bermaksud;

"Dan bertaqwalah kepada Allah dan Allah yang mengajar kamu"

dan Hadis Nabi SAW. yang bermaksud;

"Barangsiapa mengamalkan/mengerjakan apa-apa ilmu yang diketahuinya nescaya akan dipesakakan akan dia oleh Allah akan Ilmu yang tidak diketahuinya".

Ditanyai orang kepada Sayyidina Ali bin Abu Talib Karramallahu Wajhah;

"Adakah menentukan kamu oleh Rasulullah SAW. dengan suatu ilmu yang diberikan kepada manusia?."

Maka jawabnya(Sayyidina Ali r.a);

"Tiada ada pada kami melainkan memahami kami di dalam Kitabullah dan barang yang di dalam Shohifah. Dan tiada di dalam Shohifah itu melainkan beberapa masail yang berbilang-bilang jua; tiada bergantung baginya pengetahuan(hanya sedikit orang yang dapat faham). Dan sesungguhnya kelakuan sekeliannya(isi dalam Al-Qur'an) pada faham di dalam Kitab yang diturunkan atas segala hati yang suci daripada Agyar."

Ini membawa maksud bahawa hanya mereka yang suci dan bersih hatinya sahaja yang dapat mentafsirkan lautan ilmu pengetahuan dan hikmah di sebaliknya. Tidak hairanlah Imam Ghazali telah menegaskan hal ini dalam Karyanya Al-Risaalatulil Duniyyah sebagaimana berikut;

Al-Quran adalah sesuatu yang paling agung dan paling penting dalam agama. Di dalam Al Quran terdapat kemusykilan yang tidak dapat diselesaikan oleh akal tiap-tiap orang selain dari orang yang dikurniakan oleh Allah Taala untuk memahami kitabnya. Dalam hal ini Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:

"Tiap-tiap ayat Al Quran itu ada sahaja zahir dan batin dan batinnya itu mempunyai tujuh lapisan pula"

Dalam suatu riwayat yang lain dinyatakan sebagai mempunyai sembilan batinnya.

Rasulullah bersabda lagi dengan maksudnya:

"Tiap-tiap huruf dari huruf-huruf Al-Quran mempunyai had. Maksudmya sama dengan 'Nihayah' yang bermaksud batas) dan tiap-tiap had mempunyai Mutholi'(tempat tinggi untuk meninjau). Allah Taala telah memberitakan dalam Al-Quran mengenai seluruh ilmu, segala maujudah yang nyata dan yang tersembunyi, yang kecil dan yang besar, yang dapat dirasa dan yang dapat difahami oleh akal. Ini ditunjukkan oleh firmannya yang bermaksud:

Dan tidak(gugur) biji yang basah dan tidak kering melainkan terdapat dalam Kitab yang nyata. (Surah Al-An'am, ayat 59).

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

"Supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya ingat orang-orang yang mempunyai fikiran".(Surah Al-Shod, ayat 29).

Bila Al-Quran itu suatu yang paling agung, ahli-ahli tafsir manakah yang dapat keluar dari ikatannya???.

Ya!!! tiap-tiap dari ahli tafsir hanya dapat menghuraikan Al-Quran menurut tenaga sahaja, menerangkannya sekadar kekuatan akalnya dan menurut kadar isi ilmunya. Dengan kebolehan-kebolehan yang terbatas ini sekalian ahli tafsir itu berkata-kata sedangkan sebenarnya mereka patut berkata bahawa dalam ilmu Al-Quran itu terkandung Ilmu Usul dan Ilmu Furu', Ilmu Syarie' dan Ilmu 'Aqli.

Meskipun begitu ahli tafsir mestilah memandang Al-Quran dari segi bahasa, dari segi perumpaannya, dari segi susunan pengucapan, dari segi tingkat-tingkat nahu, dari segi 'adat Arab, dari segi pendapat hukamah-hukamah, dari segi perkataan ahli tasauf hingga dapat mendekatkan tafsirnya kepada tahkiq. Andainya tafsir itu cuma terbatas setakat suatu segi sahaja dan hanya memberikan keterangan menerusi suatu kepandaian sahaja, tidaklah keterangan itu memuaskan hati dan masih memberi peluang kepada hujah dan alasan dari orang lain untuk menentangnya. (Petikan dari Al-Risaalatulil Duniyyah.)

Dengan keterangan Imam Ghazali ini, mengapakah masih ada golongan ilmuan yang megah dengan ilmunya yang sedikit itu, dengan sewenang-wenangnya mempertikaikan, memperlekehkan dan menuduh mereka itu(Ahli-ahli sufi/Aulia Allah) menyeleweng. Lihatlah sebagai satu contoh bagaimana Aulia Allah mentafsirkan sebahagian daripada ilmu-ilmu yang tersirat di sebalik Kalam Allah itu seperti yang tercatat dalam Kitab Hikam Abi Madyan seperti berikut;

Dan lagi barang yang dinaqal dari Sayyidi Abi Al-abbas Al-Marsi r.a pada (mentafsirkan) firman Allah Taala yang bermaksud;

"Dikeluarkan yang hidup daripada yang mati dan dikeluarkan yang mati daripada yang hidup".

Katanya(Sayyidi Abi Al-abbas Al-Marsi r.a);

Seperti manusia mengerjakan dosa, maka didapatkan dia dengan minta uzur dan Inkishar(dukacita), maka ini "Hidup" dan minta uzur itu( sedar dan mengaku kelemahan dan kejahatan dirinya melakukan dosa serta bertaubat) ialah "keluar ia daripada yang mati". Dan seorang pula mengerjakan banyak amalan taat dan dirobohkan amalan itu dengan Ujub dan bermegah-megah. Maka ini "Mati" iaitu (Ujub dan bermegah-megah) dan maksud "dikeluarkan daripada yang hidup" itu ialah amalan taat yang dikerjakan.

Jadi apakah haq kita untuk melemparkan berbagai-bagai tuduhan yang liar kepada mereka (Ahli Sufi dan Aulia Allah) sedangkan mata hati kita buta malah mati kerana kejahilan kita. Bagaimana terupa mata yang buta dapat menyaksikan seperti apa yang lihat oleh orang yang celik? dan bagaimana terupa seorang yang mati(bermegah dengan ilmu yang sedikit) dapat mengkritik perbuatan orang-orang yang hidup?. Fikirkanlah!!! Renungkanlah!!! jika kamu ingin mencapai bahagia wahai orang-orang yang mempunyai fikiran!!!

Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?"(Al-An'aam:50)

Renunglah dan kajilah jika kamu punya Ilmu Laduni atau Nur Makrifat untuk mentafsir dan mengambil peringatan dari Kalam Allah ini.